Sunday, September 26, 2010

JENAYAH "AH LONG"

'Ah Long' diambil daripada perkataan Cina iaitu "naga" atau kependekan daripada frasa Kantonis iaitu "daai ji lung". Ia merupakan istilah popular bagi ceti haram di Malaysia dan Singapura. Mereka meminjamkan wang kepada sesiapa yang tidak berupaya memperoleh pinjaman daripada bank atau institusi kewangan yang sah kerana telah disenarai hitam, diisytihar muflis dan sebagainya. Kaki judi juga turut menjadi sasaran ceti haram ini. Mereka mengenakan kadar faedah yang sangat tinggi dan sering kali mengugut akan menggunakan keganasan kepada peminjam yang gagal membayar pada masa yang ditetapkan.

Antara keganasan yang dilakukan oleh mereka ialah apabila peminjam gagal membayar pada masa yang ditetapkan, Ah Long akan menyembur, menyimbah atau menconteng dengan cat merah pada dinding rumah atau bangunan milik peminjam bertujuan untuk mengugut mangsa serta memalukan peminjam tersebut sehinggalah si peminjam membayar hutangnya. Ada kalanya kepala khinzir digantung diluar rumah peminjam, sebagai salah satu cara memalukan mangsa serta untuk menanda peminjam yang melarikan diri. Namun, pada masa sekarang, Ah Long tidak lagi menunggu mangsa yang masih belum membayar hutang mereka tetapi mereka memecah masuk rumah mangsa dan mencuri beberapa barang sehinggalah nilainya sama dengan nilai pinjaman. Cara ini digunakan bagi menjimatkan masa dan tenaga.

Kes-kes terkini menunjukkan Ah Long juga mempamerkan salinan kad pengenalan mangsa di atas sepanduk besar serta menggantungkannya di atas pagar. Memandangkan Ah Long hanya memerlukan salinan kad pengenalan sebagai dokumen untuk memohon pinjaman, taktik sedemikian menjadi lazim sehinggakan peminjam akan berasa malu kerana identitinya dipaparkan di khalayak ramai dan seterusnya akan melunaskan hutang mereka dengan segera.

Selain itu, sindiket Ah Long juga sering bertindak di luar jangkaan dan batasan manusia. Hal ini dapat dibuktikan apabila sindiket ini telah menjadikan sebuah bangunan rumah kedai lima tingkat di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Selangor sebagai lokap buatan sendiri bagi menahan peminjam yang tidak membayar hutang mereka. Paling mengejutkan lokap tersebut umpama lokap bagi tahanan Teluk Guantanamo, di Cuba. Mangsa-mangsa tahanan tersebut dirantai di leher dan kaki umpama anjing yang ditambat. Inilah kekejaman Ah Long yang semakin berleluasa. Sebelum ini, kita selalu mendengar Ah Long menyimbah cat ke rumah peminjam yang tidak membayar hutang dan mengganggu keluarga mereka tetapi kini dengan terbongkarnya kes 'lokap Ah Long', terbuktilah bahawa mereka sanggup membuat apa sahaja dan berani melanggar undang-undang seolah-olah mereka amat berkuasa. Kejadian ini pernah dipaparkan di dalam akhbar Sinar Harian yang bertarikh 28 Mei 2009. Tajuk artikel tersebut adalah "3 dikurung seperti binatang". Berikut merupakan keratan artikel yang telah dikeluarkan oleh akhbar tersebut.

"KUALA LUMPUR 27 Mei - Zalim! Hanya kerana gagal membayar hutang, tiga lelaki deperlakukan seperti binatang apabila leher dan kaki mereka dirantai serta dikurung dalam 'lokap' buatan Ah Long.
Lebih kejam, mangsa hanya dibekalkan dengan sebuku roti untuk setiap dua minggu dan terpaksa minum air paip dalam bilik kecil yang dilengkapi tandas itu. Malah, mereka turut dijadikan seperti hamba apabila dirotan jika cuba merayu, membuat bising atau meninggikan suara. Wang yang dipinjam pula bukanlah banyak mana, cuma di antara RM 1500 dan RM 4000 sahaja."

Kegiatan tidak berperikemanusiaan itu terbongkar apabila polis menahan dua lelaki dipercayai Ah Long hasil maklumat awam, di sebuah bank di Desa Jaya, Kepong. Susulan daripada penahanan tersebut, polis telah menyerbu sebuah bangunan rumah kedai lima tingkat di Jalan PBS 14/2, Taman Perindustrian Bukit Serdang. Dalam serbuan tersebut, pihak polis berjaya menyelamatkan tiga lelaki berusia 25 hingga 49 tahun yang dijadikan tahanan oleh sindiket tersebut. Ketiga-tiga mereka ditempatkan di dalam dua buah bilik yang diubahsuai seolah-olah seperti lokap polis. Hasil pemeriksaan tehadap ketiga-tiga mangsa tersebut, pihak forensik telah menemui kesan-kesan lebam di seluruh badan yang dipercayai menjadi mangsa dera Ah Long.

Selain daripada itu, sindiket ceti haram atau Ah Long ini turut melakukan kegiatan peras ugut terhadap peminjam sehingga keadaan ini membabitkan kes pembunuhan. Serangan fizikal dan peras ugut yang dilakukan Ah Long terhadap peminjam menyebabkan para peminjam sanggup membunuh diri dan keluarga kerana tidak sanggup menanggung ugutan daripada Ah Long. Hal ini dapat buktikan apabila terlalu tertekan dengan ancaman dan gangguan daripada Ah Long, tiga kanak-kanak mati setelah dipaksa oleh ibu bapa mereka meminum bahan peluntur Clorox. Tragedi yang berlaku ke atas tiga kanak-kanak iaitu Seah Siew Cheung, 12, Seah Siew Wen, 10, dan Seah SiewThong, 8 merupakan mangsa kepada ibu bapa yang meminjam wang daripada Ah Long. 

Dalam hal ini, apakah yang menyebabkan golongan peminjam sanggup meminjam wang daripada Ah Long meskipun dikehendaki membayar dengan kadar yang amat tinggi dan risiko keselamatan bakal diterimanya jika tidak membayar hutang tersebut? Apakah tidak ada cara lain untuk memperolehi sumber kewangan? Jika ada, kenapakah perkara ini terjadi? Begitu juga dengan persoalan bahawa faktor kos sara hidup yang amat tinggi pada masa sekarang, membelenggu rakyat Malaysia menyebabkan permintaan terhadap pinjaman Ah Long meningkat? Bagaimana pula, Ah Long sewenang-wenangnya mengiklan dan menampal poster di hentian-hentian bas dan tempat-tempat awam tanpa tindakan diambil? Adakah mereka merupakan pemberi pinjaman yang sah? Jika tidak, kenapakah pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap mereka berpandukan dengan nombor-nombor telefon yang tertera di iklan-iklan tersebut? Adakah Ah Long begitu licik dan dilindungi sehinggakan tiada tindakan yang berani dan segera dapat diambil terhadap mereka? Inilah sebahagian daripada persoalan-persoalan asas yang perlu dijawab dan dirungkai agar permasalahan ini dapat diatasi segera. Walau apa pun persoalannya, perkara pokok yang perlu diambil tindakan segera ialah kesedaran semua pihak berkaitan dengan pengurusan kewangan peribadi secara berhemah. Tindakan segera ini perlu dilakukan supaya ia tidak menjadi barah yang tidak boleh diubati lagi. Jika ini boleh dilakukan maka permintaan terhadap pinjaman kewangan daripada Ah Long akan berkurangan dengan kadar yang tinggi.

Oleh yang demikian, sudah sampai masanya pihak yang berwajib bermati-matian membanteras sindiket ini. Mereka juga perlu membantu mangsa Ah Long dari terus menjadi mangsa keganasan dan kekejaman sindiket ini. Kes yang serius ini perlu ditangani oleh kerajaan secara bersungguh-sungguh memandangkan kegiatan peras ugut 'Ah Long' ini semakin berleluasa dan membimbangkan keselamatan awam. Jika mereka ini terus dibiarkan berleluasa, mungkin akan lebih ramai lagi yang bakal menjadi mangsa mereka. Siasatan bagi permasalahan ini perlu dikaji dari akar umbi. Hal ini demikian kerana masalah ini timbul dalam masyarakat mungkin berpunca dari kegagalan institusi pinjaman yang membantu rakyat dalam membuat pinjaman. Jika langkah-langkah ini tidak diambil dan dijalankan dengan segara, masalah sindiket ini akan lebih sukar dibendung dan ditangani secara efektif oleh pihak terbabit. Mustahil untuk membanteras Ah Long sekiranya masyarakat masih berfikiran sempit dan berada di takuk lama serta tiada tindakan secara menyeluruh daripada semua pihak.

No comments:

Post a Comment