Saturday, September 25, 2010

Kepentingan Aktiviti Kokurikulum

Program kokurikulum adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kepentingan program ini juga setara dengan kepentingan aktiviti di dalam bilik darjah kerana peranannya merupakan penyumbang dan pelengkap kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Kegiatan kokurikulum dapat didefinisikan sebagai kegiatan yang dijalankan di luar bilik darjah. Kegiatan ini termasuklah kegiatan sukan dan permainan, pertubuhan pakaian seragam dan kelab atau persatuan. Kegiatan kokurikulum ini bukan sahaja menyeronokkan malahan dapat mendatangkan pelbagai faedah kepada pelajar yang menyertainya.

       Kegiatan kokurikulum mampu membentuk watak dan peribadi seseorang pelajar. Antara perkembangan diri individu yang diharapkan melalui kegiatan kokurikulum ini seperti memupuk sifat kepemimpinan, membina dan membentuk sahsiah yang sihat dan seterusnya membentuk generasi yang berdisiplin. Kegiatan kokurikulum juga mampu membentuk personaliti yang positif dan rasa tanggungjawab. Penglibatan dalam persatuan, kelab dan aktiviti lain akan mengembangkan kemahiran bersosial, bercampur gaul dan berhubung mesra serta keupayaan dalam perhubungan awam yang dapat dimanfaatkan dalam masyarakat kelak. Oleh itu, watak dan peribadi pelajar haruslah dipupuk sejak awal lagi kerana kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.

        Selain itu, kesihatan yang baik dan otak yang cerdas akan diperoleh daripada kegiatan kokurikulum. Kegiatan kokurikulum akan menyihatkan badan kerana aktiviti yang bersifat fizikal akan meningkatkan daya tahan. Kebanyakan pelajar di sekolah lebih suka menyertai kegiatan sukan atau permainan disebabkan aktiviti sukan dapat membina stamina yang kuat serta membolehkan para pelajar mengeluarkan peluh, iaitu salah satu bahan perkumuhan manusia. Murid yang aktif tidak diserang oleh penyakit dan badan yang sihat memungkinkan pebelajaran yang berkesan. Sebagai contohnya, aktiviti sukan dan permainan seperti bola sepak dapat membina kekuatan stamina, manakala sukan catur pula akan mencerdaskan minda seseorang. Pepatah Melayu mengatakan bahawa badan cergas, otak cerdas.

       Melalui kokurikulum, pelajar dapat memupuk semangat perpaduan.

Hal ini semestinya juga akan dapat memupuk sikap bekerjasama dan toleransi dalam kalangan pelajar. Perpaduan kaum penting untuk membentuk sebuah negara yang aman damai, supaya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 tidak berulang lagi.
Oleh itu, Semangat perpaduan dapat dipupuk apabila pelajar berbilang kaum bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam sesuatu kegiatan. Kegiatan kokurikulum mengakibatkan proses integrasi berlaku dalam kalangan pelajar supaya pelajar boleh mengenali dan menghormati antara satu sama lain. Sebagai contohnya, dalam aktivitik pertandingan seperti bola sepak, kedua-dua pasukan ini bukan sahaja meliputi satu kaum sahaja malah ia juga disertai oleh pelajar dari pelbagai kaum. Secara tidak langsung, hubungan antara pelajar akan bertambah erat dan kukuh ibarat isi dengan kuku serta bersatu untuk mencapai matlamat yang diharapkan kerana bersatu teguh, bercerai roboh.

         Kegiatan kokurikulum juga dapat mengembangkan potensi seseorang pelajar. Sesetengah pelajar tidak mengetahui kelebihan yang terdapat pada dirinya. Melalui kegiatan kokurikulum, kelebihan itu akan dapat diketahui apabila seseorang pelajar bergiat dalam kokurikulum. Dengan ini, pelajar itu akan berpeluang untuk mewakili kelabnya untuk bertanding pada peringkat sekolah. Secara tidak langsung, kejayaan pada peringkat sekolah ini akan membawa pelajar ini untuk mewakili daerah, negeri, dan kemudiannya negara. Tujuan kegiatan kokurikulum adalah untuk memberi pengalaman kepada pelajar-pelajar dan seterusnya membantu mereka dalam mencapai kehidupan yang sempurna.
 
          Faktor-faktor menyebabkan pelajar-pelajar dan masyarakat tidak mementingkan aktivitik kokurikulum ialah tangapan yang salah terhadap kegiatan kokurikulum. Ini adalah kerana kokurikulum bukan berbentuk akademik dan kegiatan ini tidak diberi penilaian atau gred seperti kurikulum yang berbentuk akademik dan mengutamakan sifat-sifat kognitif. Oleh yang demikian, kebanyakan ibu bapa enggan menggalakkan anak-anak mereka menceburi kegiatan kokurikulum dan sebaliknya menggunakan masa itu untuk anak mereka ke kelas tambahan, muzik dan membuat kerja sekolah.
          Dari perspektif yang lain, terdapat juga beberapa kelemahan pihak-pihak tertentu dalam pelaksanaan aktiviti kokurikulum ini. Mereka tidak menitikberatkan kegiatan kokurikulum dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penglibatan pihak guru dalam melaksanakan aktiviti kokurikulum masih pada tahap kurang memuaskan dan ini mungkin disebabkan mereka tidak memahami garis panduan yang dapat dipegang sebagai landasan bagi merancang aktiviti dengan jelas selain daripada kurang kemahiran dalam aktiviti khidmat masyarakat.
          Langkah-langkah yang boleh diusaha untuk mengembangkan aktiviti kokurikulum iaitu pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat sekeliling perlu memberi perhatian. Mereka tidak seharusnya berdiam diri dan menutup mata seterusnya membiarkan pelajar-pelajar tersebut terus tersesat dalam keseronokan dunia remaja tanpa pendidikan yang sempurna. Tindakan yang tegas perlu diambil oleh pihak tertentu seperti mengenakan denda kepada pelajar sekolah yang melepak dan ponteng sekolah atau mengenakan tindakan disiplin di sekolah. Dengan adanya penegasan dan perhatian sebegini, diharapkan mutu disiplin pelajar-pelajar yang bermasalah ini dapat ditingkatkan dan kegiatan seperti ‘gengsterisme’ dapat dicegah sebelum ia menjadi lebih berleluasa dan menjatuhkan imej pendidikan Negara.

          Kesimpulannya, program kokurikulum di sekolah bukanlah sesuatu yang baru dalam aktiviti pendidikan pelajar. Pihak sekolah hendaklah memainkan peranan supaya pelajar bergiat cergas dalam kegiatan kokurikulum. Hal ini demikian kerana kegiatan kokurikulum ini memberikan peluang kepada para pelajar untuk menjadi lebih giat dan cergas. Pepatah Melayu mengatakan bahawa hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Oleh itu, semua pelajar digalakkan mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum supaya pelajar yang berdaya saing, berketerampilan, kreatif dan inovatif dapat dihasilkan.

3 comments: