Dunia ini dahulunya pernah dicemarkan dengan sejarah hitam dalam tamadun manusia disebabkan ketiadaan akidah dalam kehidupan. Masyarakat ketika itu hilang sifat berperikemanusiaan sehingga sanggup membunuh dengan menanam anak-anak mereka terutamanya perempuan secara hidup-hidup yang kononnya untuk mempertahankan maruah diri, keluarga dan keturunannya. Amalan jahiliah tersebut kini berulang kembali, malah lebih dahsyat. Ini dapat dibuktikan dengan keberadaan bayi yang mati ditepi longgokan sampah, bayi yang telah di makan oleh anjing dan sebagainya. Mengikut statistik kes pembuangan bayi di Malaysia yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM).Bukit Aman, pada tahun 2000, sejumlah 65 kes pembuangan bayi telah di laporkan di seluruh Malaysia. Manakala pada tahun 2006, kes pembuangan bayi bertambah 18 kes menjadi 83 kes. Walaupun statistik ini tidak mencecah ke angka ratusan kes, tidak bermakna kita sebagai anggota masyarakat membiarkan fenomena ini berlarutan. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, sejumlah 257411 sijil pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf bermula dari tahun 2000 sehingga Julai 2008. Statistik telah didedahkan sendiri oleh Menteri Dalam Negeri, Yang Berhormat Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa di Dewan Rakyat pada 20 Oktober 2008.
PUNCA-PUNCA PEMBUANGAN BAYI
Masalah pembuangan bayi ini selalunya berpunca daripada kekurangan didikan agama didalam diri remaja itu sendiri. Kita perlu tahu bahawa berzina dan membuang bayi adalah satu dosa besar dan berat hukumannya di sisi islam. Allah telah menegaskan kepada manusia didalam surah Al-isra' ayat 32 dengan menyatakan "Dan janganlah kamu mendekati zina."Bagaimana pula dengan mereka yang mempunyai didikan agama tetapi tetap melakukan perzinaan lantas membuang anak mereka? Demi membuktikan cinta sejati mereka kepada pasangannya mereka sanggup memberikan apa saja termasuklah maruah yang sepatutnya di jaga. Kadang-kadang si gadis yang tidak mahu kehilangan pasangannya juga akan melakukan perkara yang sama. Apabila mereka telah melakukan perkara yang terkutuk itu, mereka berasa puas. Apabila telah melakukan persetubuhan, maka Allah akan meniupkan roh keatas sperma yang telah disenyawakan dengan ovari, maka dari bulan ke bulan jadilah insan didalam kandungan yang telah berlaku tanpa ikatan yang sah disisi agama. Pasangan yang melakukan atau penderma sperma tersebut pasti tidak mahu bertanggungjawab lantas akan melepaskan tangan. Akibatnya, si ibu akan meninggalkan anak yang dikandungnya selama 9 bulan ke tempat yang kotor dan hina seperti didalam tandas, pembuangan sampah dan sebagainya. Firman Allah s.w.t di dalam surah An-nisa' ayat 93:"Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya adalah neraka jahanam, kekal dia didalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar."
90 peratus daripada remaja mengatakan perbuatan melampau mereka berpunca daripada ibu bapa yang tidak berperanan dalam mendidik anak-anak kejalan yang diredhai Allah. Filem "Anakku Sazali" arahan Tan Sri P.Ramli telah merungkai sikap ibu bapa yang tidak mempunyai ilmu untuk mendidik anak-anak. Lebih malang lagi apabila anak berkenaan tersalah langkah, ibu bapa yang melahir dan membesarkan itu dianggap tidak memahami serta gagal hingga menjadikan mereka sebegitu. Anak-anak yang bebas melakukan apa saja tanpa batasan, kebebasan dan hak remaja yang dijadikan alasan akan menjadikan remaja memberontak untuk mencari keseronokan. Ustaz Masridzi Sat, Pengarah Institusi Pemulihan Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid) berkata remaja yang rosak akhlaknya selalunya disebabkan berasal daripada keluarga yang mengamalkan sifat keakuran. Ibu bapa sibuk dengan hal duniawi cenderung memenuhi keinginan anak-anak dengan telefon bimbit,internet dirumah sebagai membuktikan mereka sayang dan manjakan anak. Remaja yang tidak tahu menghargai pemberian itu akan leka dan membina keseronokan sendiri. Telefon bimbit merupakan senjata pemusnah diri anak-anak mereka walaupun ramai yang mengatakan ia adalah keperluan harian, tetapi berapa ramai ibu bapa yang memberikan perhatiannya untuk memeriksa kandungan yang terdapat dalam telefon bimbit anak-anak mereka? Mengambil satu kes dimana seorang remaja perempuan yang didakwa baik oleh orang tuanya, tetapi apabila diperiksa kandungan telefon bimbitnya terdapat gambar separuh bogel yang dihantar kepada teman lelakinya. Malangnya teman lelakinya menggertak akan meletakkan gambar itu di media massa seperti internet. Akhirnya,remaja perempuan itu sanggup menjadi hamba seks teman lelakinya atas alasan takut diketahui ibubapa. Oleh itu, mendidik anak diumpamakan seperti bermain layang-layang, ibubapa boleh melepaskan anak-anak terbang tinggi ditiup angin, tetapi benangnya tetap berada di tangan yang menerbangkan layang-layang itu.
Perkahwinan yang membebankan juga menjadi faktor perkara ini berlaku. Budaya masyarakat Melayu yang melibatkan hantaran, persiapan perkahwinan, dan sebagainya akan membuatkan orang merasakan bahawa mendirikan rumah tangga itu amat menyusahkan mereka tambahan ketidakmampuan diri mereka. Jadi anak muda yang terlalu ghairah dan tidak dapat mengawal nafsu syahwatnya akan terpesong dan mula meminta dan merayu dengan kata janji yang manis di bibir akan di taburkan kepada pasangannya. Selain itu, ibu bapa yang menghalang hubungan anak-anak mereka untuk mendirikan rumah tangga akan mendorong berlakunya penzinaan lantas berlakulah pembuangan bayi. Hal ini berlaku kerana ibu bapa merasakan calon menantunya tidak menepati piawaian yang telah mereka tentukan. Tambahan lagi, dasar kerajaan yang menghalang remaja bawah umur untuk berkahwin menyebabkan kes penzinaan dan pembuangan bayi berlaku. Kebanyakkannya remaja yang hamil luar nikah adalah remaja yang masih bersekolah dan mereka berjaya menyembunyikan kandungannya daripada diketahui orang lain seperti ibu bapa, guru dan rakan-rakannya.
KESAN-KESAN BERLAKUNYA PEMBUANGAN BAYI.
Kesan-kesan pembuangan bayi boleh diklasifikasikan kepada beberapa bahagian seperti kesan kepada bayi, ibu yang melahirkan, keluarga remaja perempuan yang terlibat dengan pembuangan bayi,masyarakat dan negara.
Ramai pasangan yang mempunyai hubungan yang sah menginginkan anak tetapi mungkin bukan rezekinya, mereka terpaksa menunggu bertahun-tahun bahkan ada yang sampai berpuluh tahun semata-mata menunggu zuriat mereka. Pelbagai ikhtiar mereka lakukan untuk mendapatkan anak tetapi nasib tidak menyebelahi mereka. Apa pula perasaan mereka apabila melihat bayi yang dibuang seperti sampah mati dibaham binatang ataupun dikerumuni semut? Manusia tidak pernah bersyukur. Itulah yang paling layak digelarkan bagi remaja yang terlanjur dan membuang anaknya. Bayi yang selamat diselamatkan mungkin tidak mengetahui latar belakang ibu bapa yang menyebabkannya lahir kedunia ini. Selain itu juga, bayi tersebut terpaksa memegang status anak luar nikah walhal ini bukanlah kesalahan yang mereka lakukan. Betapa malangnya nasib anak itu, apa nasib mereka setelah mereka besar? Bagaimana pula jika mereka hendak kahwin? Bagaimana mereka hendak mencari wali kandungnya?
Implikasi bagi ibu yang melahirkan anak tanpa bantuan bidan mahupun doktor sakit puan ialah besar kemungkinan pesalah akan mengalami jangkitan kuman kecedaran waktu bersalin dan juga kehilangan banyak darah kerana tidak berada dalam jagaan yang sebenar. Selain itu juga, psikologi dan sosial pesalah akan terganggu. Ini kerana mereka akan berasa bersalah lantas akan menjadi murung, hilang keyakinan, resah dan beremosi. Mustahil bagi seseorang yang melakukan kesalahan yang begitu besar untuk melupakan kesalahannya. Mereka akan sentiasa mengingati anak yang mereka buang. Tambahan lagi apabila Allah menarik semula nikmat atau rezeki yang dikurniakan. Contohnya apabila mereka sudah berkahwin dan tidak dapat melahirkan anak akibat jangkitan kuman pada rahimnya lalu terpaksa membuangnya, pada masa itulah penyesalan tak sudah. Anak sudah dibuang seperti sampah.kini menjadi mandul pula.
Ibu bapa juga akan menerima implikasi yang besar diatas perbuatan anaknya itu. Mana tidaknya, anak yang ditatang bagai minyak yang penuh kini menconteng arang dimuka orangnya. Itulah anak yang tidak mengenang jasa, orang tuanya memberikan susu tetapi si anak membalasnya dengan tuba. Bayangkan betapa hancur dan luluhnya hati ibu yang mengandungkan dan ayah yang sanggup menyara hidup sianak sehingga terpaksa membanting tulang 4 keratnya senata-mata untuk membesarkan kita, tapi akhirnya pesalah itu menghancurkan ibu bapanya. Hal ini berlaku apabila masyarakat sekeliling yang mengutuk dan mengumpat sehingga menyebabkan diri orang tuanya dipandang serong malah disisihkan masyarakat. Ini mengakibatkan ibu dan bapa sering berbalah menyalahkan antara satu sama lain sehingga menyebabkan mereka bercerai-berai.
Negara turut mengalami impak yang besar akibat kes pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi. Pertamanya, hasrat negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai penduduk yang padat tidak akan berlaku kerana kadar kematian bayi lebih tinggi berbanding kadar kelahirannya. Di tambah lagi kes bunuh, sakit, dan sebagainya akan membantutkan hasrat negara. Selain itu, kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk menampung bayi yang diletakkan dirumah kebajikan masyarakat.
LANGKAH-LANGKAH ATASI
"Sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakkannya daripada jin dan manusia, mempunyai hati (tetapi) tidak mempergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah), mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (keesaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai." Itulah amaran Allah s.w.t yang telah termaktub di dalam surah AL-A'raaf ayat 179. Banarlah apa yang termaktub di dalam Al-quran dimana mereka (orang yang membuang bayi) lebih teruk daripada haiwan kerana jika kita perhatikan haiwan contohnya ayam, akan menjaga dan melindungi anaknya sehingga anaknya tahu menjaga dirinya sendiri. Haiwan yang tidak mempunyai akal boleh menjaga anaknya tetapi manusia yang diberi keistimewaan oleh Allah dengan dikurniakan akal fikiran tidak tahu untuk mengunakannya.
Langkah pertama yang berperanan untuk membanteras jenayah pembuangan bayi ialah individu itu sendiri. Remaja yang matang akan memikirkan kesan dan akibat sebelum melakukan sesuatu perkara. Mereka akan sentiasa bertanggungjawab ke atas hidup mereka sendiri dengan cara tidak membaca atau memonton bahan-bahan lucah yang mendorong mereka melakukan kekejaman dan dosa. Rasionalmya, pasangan yang sedang hangat bercinta jika benar mereka saling mencintai dan menyayangi pasangan mereka, mereka tidak akan mensia-siakan pasangan mereka. Mereka akan meminta untuk menikahinya dahalu sebelum melakukan seks yang sah di sisi agama.
"Melentur buluh biarlah dari rebungnya." Anak-anak yang baru lahir wajarlah dilentur dan dibentuk menjadi insan yang soleh dan solehah kerana bayi ibarat kain putih. Ibu bapa perlu memberikan didikan agama yang secukupnya serta mengawal gerak gerinya. Ibu bapa tidak sewajarnya mempercayai anak-anak mereka 100% tetapi timbulkanlah kesangsian terhadap anak-anak mereka dengan mengetahui dengan siapa mereka berkawan, kemana mereka pergi dan sebagainya. Ibu bapa perlu melakukan aktiviti bersama dan berkongsi masalah dengan anak-anak mereka mengenai masalah yang mereka hadapi.
Langkah seterusnya ialah memudahkan perkahwinan. Nabi S.W.T pernah bersabda yang bermaksud "Wahai golongan pemuda! Barangsiapa yang diantara kamu yang mempunyai kemampuan, maka berkahwinlah, maka sesungguhnya perkahwinan itu cara terbaik untuk penjagaan pandangan dan merupakan cara terbaik untuk menjaga kehormatan, dan barangsiapa yang tidak mampu maka berpuasalah, sesungguhnya dengan berpuasa itulah ada perlindungan." Hadis Riwayat Bukhori Muslim. Nabi S.W.T telah memberikan jalan kepada umatnya dengan hanya dengan rukun islam iaitu berpuasa. Ini menunjukkan islam itu indah dan mudah, tetapi ada remaja yang tidak menghargai agama islam. Jika semua umat islam di dunia ini menggunakan hukum-hakam yang terkandung di dalam Al-quran sudah tentu negara mampu menjadi negara yang bertamadun dan digeruni. Masalah jenayah juga dapat dikikis dikalangan masyarakat, lantas dapat menjana keharmonian dan kemakmuran negara.
Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Ankabut yang bermaksud "dirikanlah sembahyang (dengan tekun), sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." Ayat ini menjelaskan bahawa solat merupakan formula rabbani untuk mencegah kemungkaran. Kempen ini mestila direalisasikan oleh semua pihak yang berdasarkan tanggungjawab masing-masing. Individu itu sendiri seharusnya mempunyai kesedaran untuk menunaikan solat secara khusyuk. Ibu bapa haruslah memainkan peranan yang penting di dalam mendidik anak-anak untuk solat.
Kesimpulannya, semua pihak seperti pihak kerajaan, para ulama, ibubapa, guru dan masyarakat harus membuka fikiran mereka seluas-luasnya agar gejala ini dapat dibendung. Anak yang lahir dan tidak bersalah menjadi sampah dan makanan binatang buas dan serangga. Bayi yang lahir ibarat kain putih yang sepatutnya dididik dan dibentuk untuk menjadi insan yang mampu menjadi tonggak negara, tetapi dengan sifat yang tidak berperikemanusiaan menjadikan anak-anak itu tidak sempat untuk melihat dunia. Oleh itu, marilah kita fikirkan langkah-langkah yang terbaik agar gejala membuang anak tidak berlaku lagi agar Malaysia menjadi sebuh negara yang bertamadun.
mohon jadikan ini sebagai rujukan saya
ReplyDelete